Sunday, December 11, 2011

"Gugur Hassan Ali hanya lah fitnah UMNO..." Hadi Awang.

Written by Muhammad Faizal
SHAH ALAM, 11 Dis: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menafikan laporan yang dikeluarkan oleh media milik Umno Mingguan Malaysia hari ini bahawa Datuk Dr Hassan Ali dan Nasharudin Mat Isa digugurkan dari menjadi calon pada pilihanraya nanti.

Sambil membidas laporan Utusan itu, beliau berkata ianya hanya satu tuduhan tidak benar memandangkan PAS sendiri belum membuat sebarang keputusan rasmi berhubung senarai nama calon yang akan bertanding.

"Apa yang disiarkan oleh Utusan Malaysia itu tidak benar, bagaimana ia tahu nama-nama calon sedangkan peringkat PAS Pusat pun belum memberi keputusan rasmi.

"Perkara itu tidak perlu timbul sekarang sebab semuanya belum ada keputusan rasmi dan kita tidak akan umum nama-nama yang akan bertanding selagi belum tibanya hari penamaan calon," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perlancaran Dokumen Negara Berkebajikan: Tawaran PAS di Kompleks PKNS di sini.

Utusan Malaysia melalui Mingguan Malaysia hari ini mendakwa Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, akan digugurkan daripada menjadi calon pilihan raya umum.

Kata akhbar itu, pengguguran Hasan sebagai calon PAS pada pilihan raya umum sememangnya telah dijangka dan ia hangat diperbincangkan di blog-blog tempatan.

Sementara itu Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu secara berseloroh menyifatkan Utusan sebagai 'lebih PAS' dari pimpinan PAS apabila mengetahui perkara yang belum dibincangkan oleh parti itu.

"Saya sendiri belum tahu lagi dicalonkan atau tidak sebab tiada keputusan lagi dan pelik juga bila nama Dr Hassan disebutkan sebagai digugurkan sebagai calon.

"Kalau saya sendiri belum pasti kedudukannya maka kenyataan yang dikeluarkan oleh akhbar milik Umno itu tidak tepat dan fitnah semata-mata," katanya

No comments:

Post a Comment